KUALA Lumpur City FC kembali mencatat kemenangan selepas berjaya menewaskan Penang FC 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
KL City memulakan asakan sejak awal perlawanan dan berpeluang mendahului seawal minit ke-12 namun percubaan Akram Mahinan berjaya dihalang Latiff Suhaimi di atas garisan gol.
Berselang tiga minit, KL City berjaya mendapat sepakan penalti selepas Kevin Koubemba dijatuhkan Fairuz Zakaria namun sepakan Romel Morales berjaya ditampan Khatul Anuar untuk memastikan gawang Penang FC terselamat.
Penang FC juga mempunyai beberapa peluang keemasan menerusi Endrick Dos Santos dan T. Saravanan namun kedua-duanya gagal menewaskan Kevin Ray Mendoza yang kurang diuji.
Tiga minit sebelum tamat babak pertama, J.Partiban berjaya memberikan kelebihan buat KL City apabila mudah menolak masuk selepas keadaan kelam kabut di dalam petak penalti Penang FC untuk kedudukan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, KL City menggandakan asakan dengan menguasai sepenuhnya permainan tetapi pertahanan Penang FC berjaya mengekang segala percubaan berbahaya.
Namun begitu benteng Penang FC bocor sekali lagi apabila larian solo Paulo Josue berjaya menemui Romel Morales yang tidak dikawal dan beliau mudah menewaskan Khatul untuk gol kedua KL City.
Hasil dari sepakan sudut pada minit ke-77, Zhafri Yahya menjaringkan satu gol menerusi voli yang cukup cantik dari luar kotak penalti untuk memberikan KL City gol ketiga.
Kegembiraan KL City tidak kekal lama apabila Casagrande yang kembali dalam skuad Penang FC berjaya memenangi penalti dan mudah disempurnakan Endrick Dos Santos pada minit ke-80 untuk gol pertama.
Gol itu membangkitkan semangat pemain Penang FC dan akhirnya mereka berjaya merapatkan jurang pada minit ke-85 dengan gol kedua hasil jaringan Hilal El Helwe.
Penang FC cuba mencari gol penyamaan tetapi KL City ampuh menahan asakan dan akhirnya berjaya memenangi perlawanan sekaligus melonjak ke tangga kelima liga manakala Penang kekal terbawah tanpa sebarang kemenangan.