HAJAT Kuala Lumpur City FC untuk layak ke peringkat seterusnya dalam Piala AFC menjadi kenyataan selepas mencatat kemenangan 2-1 keatas Tampines Rovers dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Khamis.

KL City yang memerlukan sekurang-kurangnya tiga gol hanya mendapat dua gol namun tuah memihak kepada mereka apabila berjaya layak sebagai pasukan tempat kedua terbaik.

Ketua pasukan, Paulo Josue berjaya memimpin pasukan dengan baik apabila berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-16 dan 21 untuk memberikan permulaan baik buat The City Boys.

Namun ketika KL ghairah menyerang, Tampines Rovers berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan cantik Boris Kopitovic pada minit ke-38 sekaligus menambah tekanan kepada KL.

Barisan kendalian Bojan Hodak menyerang bertubi-tubi pada babak kedua namun tuah tidak memihak kepada mereka apabila kesemua percubaan gagal menerjah jaring.

Beberapa pertukaran dilakukan bagi menajamkan lagi serangan namun tetap gagal menjaringkan gol dan akhirnya terpaksa berpuas hati di tangga kedua Kumpulan H dengan empat mata.

Namun ianya sudah cukup memadai buat Kuala Lumpur untuk layak dan bakal menentang wakil Vietnam, Viettel FC pada aksi separuh akhir zon Asean yang dijadualkan pada Ogos nanti.