KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Nenad Bacina tidak gembira dengan keputusan perlawanan secara keseluruhan namun baginya 2-1 adalah lebih baik dari 2-0 dan bersedia kejutkan Terengganu di Gong Badak pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 pada 3 November nanti.
Nenad juga menganggap gol minit akhir Tchetche Kipre memastikan KL City masih berada dalam saingan dan kembalinya tiga tonggak utama pada aksi timbal balik nanti akan memberikan kelebihan buat mereka meskipun beraksi di tempat lawan.
“Secara keseluruhan saya tidak gembira dengan keputusan kerana tewas tetapi dalam perlawanan ini ada masanya kami mengawal perlawanan dan malangnya kami kalah dan namun semuanya akan ditentukan pada aksi timbal balik.
“Gol Tchetche sangat penting kerana kita hanya ketinggalan satu gol dan berpeluang kejutkan mereka di sana dan layak ke final. Kehadiran Paulo Josue dan Romel Morales akan menambah kekuatan pasukan pada aksi kedua nanti dan kami akan cuba kejutkan mereka dari permulaan di hadapan penyokong mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, KL City dilihat lebih banyak menahan asakan bertali arus Terengganu FC dan kekentalan pertahanan serta ketangkasan Kevin Ray Mendoza memastikan skuad warga kota tidak dibolosi lebih banyak lagi.
Nenad turut mengakui berbangga dengan pemilihan Shukor Adan sebagai pembantu jurulatih skuad B-23 tahun kebangsaan kerana padanya Shukor mempunyai karektor yang sesuai dengan pemain muda dan mempunyai pengalaman yang luas untuk membantu skuad kebangsaan.