PENJAGA gol Kuala Lumpur (KL City) FC, Muhammad Azim Al Amin, muncul wira membawa skuad warga kota ke pentas akhir Piala FA selepas mengalahkan Terengganu FC (TFC) 4-2 menerusi penentuan penalti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Pemain skuad bawah 23 negara itu menyelamatkan sepakan diambil Nik Sharif Haseefy dan Liridon Krasniqi setelah aksi 120 minit berakhir seri tanpa jaringan.

TFC yang melakukan sepak mula terlebih dahulu mencemaskan pelawat melalui percubaan Ivan Mamut seawal minit pertama disusuli rembatan jarak jauh Habib Haroon minit ke-11.

Pintu gol KL City diuji lagi minit ke-28 menyaksikan sepakan percuma Sony Norde tepat ke dalam kotak penalti namun Argzim Redzovic sedikit terlewat untuk menyambar umpanan itu.

Pelawat yang sesekali melancarkan serangan balas nyaris mengejutkan TFC mujur sepakan leret ketua pasukan, Paulo Josue minit ke-34 tepat ke dakapan Mohd. Suhaimi Husin.

Sang Penyu memiliki peluang terbaik menuju bilik persalinan menerusi Liridon Krasniqi minit ke-35 dan ke-43 serta rembatan deras Mamut (m-45) namun dinafikan penjaga gol.

Bersambung babak kedua rentak permainan berlangsung perlahan dengan kedua-dua pasukan tampak ketandusan idea menyaksikan bola banyak berlegar di kawasan tengah.

Sony Norde (kanan) banyak mencipta peluang namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan buat TFC.

Gerakan solo Nik Sharif Haseefy minit ke-72 dan voli Sean Giannelli minit ke-85 sekadar penyeri permainan sebelum wisel ditiupkan pengadil memaksa aksi diheret ke masa tambahan.

Tiada jaringan dihasilkan dalam tempoh 30 minit dengan lebih 26,000 penyokong TFC terdiam selepas Nik Sharif Haseefy dan Liridon terlepas sepakan penalti masing-masing.

Bek tengah KL City, Giancarlo Gallifuoco memastikan kemaraan pasukannya apabila menyudahkan sepakan penalti terakhir sekali gus kemenangan 4-2.