KEDAH Darul Aman (KDA) FC akan menerima kunjungan Kuala Lumpur City FC di Alor Setar pada Minggu 9 Liga Super 2023.
Kedah yang dibalun Johor Darul Ta’zim minggu lepas bertekad bangkit mencuci aib dengan menjadikan KL City sebagai mangsa amarah.
Namun, tugasan itu tidaklah mudah selepas formasi serta taktikal yang diterapkan Nafuzi Zain masih diragui peminat Sang Kenari. Rentak permainan KDA FC juga masih terumbang-ambing.
Dalam lima perlawanan terakhir, hanya tiga kemenangan diraih selebihnya tewas dan satu seri. Ianya tidak menggambarkan kekuatan sebenar Kedah untuk menghadirkan gerun kepada lawan yang ditemui sama ada di tempat sendiri mahupun lawan.
Teguran ‘mesra’ pemilik kelab Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar wajar dijadikan pedoman dan pengajaran buat semua pemain kerana perjalanan Liga Super masih panjang dan penuh berliku.
Tonggak lokal dan import seperti Fayadh Zulkifli Amin, Willian Lira, Al-Hafiz Harun dan Arif Farhan Md Isa kini harus menggandakan lagi tahap permainan membantu rakan sepasukan dalam membina serangan dan mencipta peluang menghasilkan gol.
Berita baik, kehadiran semula dua tonggak utama barisan pertahanan iaitu Ariff Farhan dan Wan Amirul Afiq memperkuatkan kembali pasukan utara itu selepas tempoh penggantungan mereka tamat.
Berbanding kem KL City yang semakin mendapat rentak diinginkan selepas bermula baik dalam tiga aksi terakhir seluruh pertandingan tanpa bolos musim ini.
Skuad bimbingan Bojan Hodak itu menang dua kali dalam rekod lima pertemuan terakhir kedua-dua pasukan sepanjang liga sejak Mei 2019.
Kali terakhir pertemuan menyaksikan mereka menumpaskan lawan 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 27 Julai 2022.
Menentang Kedah yang sebelum ini menewaskan mereka 3-2 di Darul Aman, Sang Kenari pastinya dijangka mencapai keputusan terbaik. Tetapi, berdasarkan senario semasa Kedah yang prestasinya masih jauh dari meyakinkan, KL City sebenarnya mempunyai peluang yang cukup untuk memenangi tiga mata.
Tidak mustahil dengan pemain terbaik yang ada termasuk Caion dan Romel Morales, Bojan mampu mencipta elemen kejutan dan mengecewakan ribuan penonton tuan rumah yang hadir sekali gus berpeluang memperbaiki lagi kedudukan dalam carta liga.
📊 Kedudukan LS8 ✅#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/1wxCNYvbAH
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 10, 2023
Rekod 5 pertemuan terakhir
27-07-2022 KL City 2-1 Kedah
09-03-2022 Kedah 3-2 KL City
04-09-2021 KL City 2-1 Kedah
23-04-2021 Kedah 3-2 KL City
03-05-2019 Kedah 5-2 KL City