SKUAD Kuala Lumpur City FC meraih tiga mata berharga apabila menewaskan PDRM FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Ini merupakan kemenangan kelima berturut-turut dirakam anak buah Bojan Hodak dalam seluruh pertandingan musim ini.

Tidak menunggu lama, KL City berjaya meledak gol pertama menerusi jaringan penyerang, Romel Morales pada minit ke-14 untuk memperdaya penjaga gawang pelawat, Nor Hakeem Hamidun.

Tersentak dengan gol berkenaan, The Cops dilihat cuba bangkit dengan mengatur asakan ke gawang tuan rumah bagi menyamakan kedudukan.

 

Sebaliknya, tuan rumah tampil garang menambah gol menerusi  rembatan kencang Paulo Josue m-22 untuk kedudukan selesa pada babak pertama.

Bersambung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan manakala PDRM masih terkial-kial memecah benteng pertahanan.

Gol ketiga KL City hadir pada penghujung babak kedua apabila hantaran lintang T. Saravanan ditanduk masuk oleh pemain gantian, Tchetche Kipre dan kedudukan itu kekal hingga ke wisel penamat.