KUALA Lumpur City FC yang sebelum ini mengalami kesukaran untuk memenangi perlawanan kini berjaya mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Liga Super selepas menewaskan Perak FC 1-0.

Jaringan tunggal Sebastian Avanzini pada saat terakhir babak pertama sudah cukup untuk memberikan tiga mata kepada skuad kendalian Bojan Hodak sekaligus menambah derita skuad The Bos Gaurus yang mengalami kekalahan keempat berturut-turut.

KL City yang menurunkan kesebelasan terbaik dijangka tidak berdepan masalah untuk mengawal perlawanan tetapi sebaliknya berlaku apabila anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim dilihat lebih banyak melakukan serangan.

 

Bagaimanapun KL City berjaya memanfaatkan keadaan kelam kabut di depan pintu gol Perak untuk mendahului menerusi Avanzini yang bijak menolak bola ke gawang seterusnya pengadil menamatkan aksi babak pertama.

KL City terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-63 selepas T. Saravanan dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad Merah ekoran kekasaran lewat yang dilakukan keatas pemain lawan.

Perak menggunakan kesempatan kelebihan seorang pemain dengan terus menekan pertahanan KL City namun ketumpulan serangan dan pembuatan keputusan yang silap menafikan hajat mereka untuk mendapatkan gol penyamaan.

Meskipun bermain dengan 10 pemain, Bojan Hodak berani mengambil risiko dengan memasukkan Haqimi Azim, Sean Gan Gianneli dan Caion bagi menambah sengat barisan serangan KL City namun tidak berjaya menambah jaringan.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Kuala Lumpur City kini menduduki tempat kelapan dengan sembilan mata manakala Perak kini ditangga ke-11 kekal dengan lima mata.