TUNGGAKAN gaji, hutang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagai diabaikan sahaja pemain Kuala Lumpur City apabila berusaha gigih mengelak kelab itu daripada menerima kekalahan kedua Liga Super musim ini apabila berjaya mengikat Sri Pahang seri tanpa jaringan.

Begitupun, mereka terlepas peluang untuk memintas Terengganu di kedudukan keempat ketika peluang terhidang selepas skuad Pantai Timur itu tewas 0-4 di selatan tanah air.

Ketika The City Boys lega dengan satu mata, skuad bimbingan Fandi Ahmad berdepan situasi sukar untuk memburu kemenangan selepas dua kali tewas dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini.

| FOTO KL City FC

Aksi hambar di yang dipamer kedua-dua pasukan bagaimanapun menyaksikan tuan rumah memperoleh peluang menjaringkan gol pada minit ke-38, namun sepakan percuma Paulo Josue itu ditepis keluar Azfar Arif Mohd Sukri di gawang Tok Gajah.

Beraksi di hadapan 1,149 penonton, Sri Pahang mendapat peluang memecah kebuntuan namun penyudah mengecewakan membuatkan penyokong pelawat yang berkunjung ke Cheras terpaksa akur kecewa.

Keputusan 0-0 itu bermakna KL City kekal di tangga kelima dengan 8 mata manakala Sri Pahang pula di tangga ke-10 dengan 6 mata.