“PERTEMUAN dengan Terengganu FC selepas ini pastinya akan lebih sengit, tetapi kita sudah jumpa perancangan untuk hadapi mereka nanti.”

Perkara demikian dikongsikan oleh Kapten pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue yang nyata gembira dengan keputusan 3-0 bertemu Sabah FC pada Rabu, dan mahu fokus untuk aksi seterusnya bertemu Sang Penyu.

Menurut Paulo, rentak kecemerlangan yang sedang elok dipamerkan oleh pasukannya perlu diteruskan kerana sedar akan cabaran yang bakal dilalui dalam perlawanan seterusnya, walaupun di gelanggang sendiri.

Terengganu FC dan KL City FC masing-masing sedang berkongsi 11 mata di carta Liga Super, namun Paulo mendedahkan bahawa pasukannya sudah menemukan jalan untuk menghadapi ancaman Sang Penyu.

Paulo Josue ketika ditemui di Stadium Bola Sepak KL.

“Kemenangan malam ini adalah sesuatu perkara positif yang boleh kita tunjuk kepada semua bahawa kita cemerlang di ‘home‘. Kita perlu kekalkan momentum ini kerana perlawanan selepas ini bertemu Terengganu akan menjadi lebih sukar.

“Tetapi, kita sudah mendapatkan rancangan untuk hadapi mereka nanti, dan sekarang kita hanya akan fokus untuk perlawanan sekali gus memburu tiga mata penuh,” ujar Paulo ketika ditemui selepas tamat perlawanan bertemu Sabah FC pada Rabu.

KL City bakal menerima kunjungan daripada pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner, yang dijadualkan berlangsung pada 10 Ogos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.