KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Nenad Bacina terpaksa menggunakan perlawanan kompetitif menentang Kedah Darul Aman FC pada Sabtu sebagai medan menguji pemain sebagai persediaan aksi separuh akhir Piala Malaysia bertemu Terengganu kerana mereka akan berehat untuk tempoh yang panjang.
KL City akan mempunyai rehat sepanjang 21 hari sebelum aksi separuh akhir dan meskipun tewas di tangan Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pengendali Croatia itu tidak bimbang dan berpuas hati dengan aksi para pemainnya.
Dia tidak membawa masuk Paulo Josue lebih awal kerana pemain naturalisasi negara itu digantung untuk aksi separuh akhir nanti selain beberapa pemain yang mengalami kecederaan turut diberikan peluang beraksi untuk memastikan kecergasan mereka.
“Satu perlawanan yang sukar seperti yang kita jangkakan kerana Kedah mempunyai 11 mata lebih dari kami tetapi kami lebih baik pada peringkat awal namun kemudian kami seakan diam dalam perlawanan ini dan akhirnya kami dihukum dengan penalti.
“Kemasukan Paulo Josue semestinya merubah keadaan permainan dan berikan kami keyakinan untuk memegang bola serta kami gunakan perlawanan ini sebagai persiapan menghadapi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC kerana kami akan mempunyai rehat yang cukup panjang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Ditanya sama ada KL City kini lebih menumpukan perhatian kepada saingan Piala Malaysia dan bukannya Liga Super, Nenad menepis dakwaan itu sebaliknya mahu anak-anak buahnya mengutip seberapa banyak mata yang boleh pada baki empat lagi perlawanan.
“Kami menganggap semua perlawanan penting dan mahu mendapatkan tiga mata. Saya bertanya dan menekankan kepada pemain kenapa kita tidak mahu tamatkan liga di tempat yang lebih baik dan atas sebab itu, kami mahu mengutip seberapa banyak mata dalam baki perlawanan,” jelasnya.
Nenad juga menyatakan bahawa pemainnya tidak cukup agresif pada perlawanan ini namun mereka tetap menunjukkan karakter yang baik tetapi penyudah yang tumpul dan sedikit kesilapan menyebabkan kekalahan mereka kali ini.
Meskipun tewas, KL City kekal di tangga ketujuh liga dan kini akan mempersiapkan pasukan untuk menghadapi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia — separuh akhir keempat mereka dalam tempoh dua tahun.