PENGENDALI Kuala Lumpur Rovers, Wan Mustafa Wan Ismail lega dengan aksi melawan yang ditunjukkan para pemainnya meskipun dibelasah 0-7 oleh Sabah FC dalam aksi Pusingan 16 ,Piala FA 2024-25 di Stadium Likas.

Dia juga mahu para pemainnya mempelajari sesuatu dari perlawanan ini sebagai persediaan buat mereka beraksi di Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian muncul naib musim lalu.

“Pemain saya seakan-akan sudah berhari raya awal tetapi mereka telah bermain habis-habisan dan saya memuji kerana mereka tewas melawan dengan mencipta beberapa peluang namun tidak dapat disudahkan untuk mengecilkan jurang gol.

“Banyak yang kami belajar dari aksi kni dan antara yang kami belajar adalah perlu menyudahkan peluang yang terhidang dan kita akan guna pengalaman ini untuk pemain bangkit semula bagi menghadapi Liga A1 Semi-Pro selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bekas pengendali UiTM FC itu juga menegur keberkesanan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang dianggap perlu ditambah baik pada masa akan datang kerana tidak dapat digunakan pada aksi itu.

Dia juga sedar akan kekuatan yang ada pada pasukan Sabah namun gembira kerana pasukannya mendapat pengalaman berharga pada kempen Piala FA kali ini.

“Kami sedar Sabah adalah pasukan yang baik kerana pernah beraksi di Piala AFC serta mempunyai banyak pemain berkualiti dan jangka Sabah mampu pergi jauh dalam saingan Piala FA kali ini,” jelasnya.