SKUAD Kuala Lumpur Rovers FC menempah tempat ke saingan Piala Malaysia 2023 selepas mengesahkan kedudukan tangga teratas Liga MBSB Bank Championship apabila membelasah Sarawak United 1-4 dalam aksi di Kuching pada Ahad.
Pasukan kendalian Wan Mustafa Wan Ismail itu turut cemerlang mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 11 perlawanan dengan 29 mata, enam mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Harini FT.
Kemenangan itu turut memastikan KL Rovers kini akan berhadapan Terengganu FC pada aksi pusingan 16 Piala Malaysia pada Ogos dan bakal beraksi di laman sendiri terlebih dahulu sebelum bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu untuk aksi timbal balik.
Wan Mustafa yang dihubungi FLASH SUKAN berkata dia gembira kerana mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari liga amatur untuk layak ke Piala Malaysia meskipun terdapat beberapa kekurangan yang perlu diatasi.
“Alhamdulillah pasukan telah memberi persembahan menjangkaui jangkaan dengan ramuan pemain remaja dan pemain berpengalaman serta corak permainan intensiti tinggi telah membuahkan hasil.
“Pada mulanya, pasukan ini diberi KPI yang jelas sebagai kilang untuk membentuk pemain-pemain remaja untuk diserapkan kepada pasukan senior KL City dan KL City Extension serta batu loncatan kepada pemain untuk ke pasukan-pasukan Liga Super yang lain.
“Kejayaan ini juga adalah satu bukti bahawa kerja dan daya usaha gigih dalam masa sebulan serta pengorbanan semua pemain tanpa memikirkan kekurangan yang ada membuahkan hasil kejayaan cemerlang dengan pasukan ini mencipta sejarah menjadi pasukan kelab liga MBSB Bank Championship pertama layak ke Piala Malaysia,” katanya.
Bekas pembantu jurulatih UiTM FC ini juga mendedahkan bahawa ada beberapa pemainnya mula dirisik barisan kejurulatihan skuad B-23 tahun kebangsaan namun dia tetap merendah diri dan menganggap perjalanan kelab ini masih panjang untuk kekal di takhta liga sehingga akhir musim.
“Beberapa pemain juga telah menarik minat jurulatih B-23 Harimau Malaya, E. Elavarasan dan berkemungkinan berpotensi untuk mewakili pasukan remaja kebangsaan.
“Walau bagaimanapun perjalanan masih jauh lagi dan pelbagai kelemahan perlu di atasi sekiranya mahu pergi lebih jauh untuk layak menjadi juara Liga MBSB dan layak ke Liga Super 2024,” katanya.