PASUKAN Kuala Lumpur Rovers FC dijangka akan kekal bermain di Liga Kejuaraan MBSB Bank M3 selepas hasrat mereka untuk bermain di Liga Singapura tidak kesampaian.

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan memilih pasukan baru untuk bersaing dalam liganya bagi musim 2024/25.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, FAS telah memuktamadkan proses penilaian bagi kelab yang berpotensi untuk bermain di Singapore Premier League (SPL) musim 2024-2025.

“FAS sudah menerima beberapa permohonan dengan satu kelab telah diberi kelulusan untuk menyertai SPL 2024/2025.

“Kelab yang disenarai pendek sudah menjalani proses semakan di mana proses tersebut mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.

“Memandangkan tarikh tutup yang terlalu hampir dengan permulaan SPL pada Mei 2024, kelab tersebut memutuskan untuk tidak bertanding dalam musim 2024/25. Sebaliknya, kelab itu akan fokus menyediakan pasukan untuk musim 2025/26,” kata FAS dalam kenyataan media.

“FAS akan kekal komited untuk menambahbaik SPL dan akan terus meneroka peluang-peluang memperkukuh pertandingan divisyen utama bola sepak domestik Singapura,” tambahnya lagi.

Pengumuman ini menyaksikan SPL kekal dengan sembilan buah pasukan bagi menghadapi musim 2024/25.

KL Rovers FC menjadi naib juara sebanyak dua kali berturut-turut dalam saingan Liga Kejuaraan MBSB Bank M3. (Sumber Gambar: FB KL Rovers)

Pasukan KL Rovers FC pula dijangka akan kekal bersaing dalam saingan Liga Kejuaraan MBSB Bank M3 bagi musim hadapan walaupun turut mengemukakan permohonan Lesen Kebangsaan untuk mengisi slot pasukan ke-14 Liga Super musim 2024-2025.

Ini selepas ditolak oleh First Instance Body (FIB) kerana gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh badan tersebut.