SASARAN 3,500 penyertaan ditetapkan Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) bagi penganjuran kali kedua Kejohanan Badminton Tertutup Projek Jejak Juara Kuala Lumpur 2024.

Kejohanan yang akan berlangsung di Arena Badminton Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cheras, 10 hingga 15 Jun itu, membabitkan kumpulan umur bawah 8 tahun, 10 tahun, 12 tahun, 14 tahun, 16 tahun dan 18 tahun.

Timbalan Presiden KLBA Mohd Taupik Hussain berkata, kejohanan itu tidak menawarkan hadiah wang tunai namun tetap menarik perhatian menerusi hadiah berbentuk medal, sijil dan hadiah iringan daripada penaja bersama, kepada pemenang setiap kategori.

“Kita sasarkan sebagaimana tahun lalu, berjaya mengumpulkan hampir 3,500 orang pemain dan harapan kami jika tidak dapat menempatkan jumlah tersebut, kita target dalam 2,500 ke 3,000 pemain akan bermain untuk kali ini.

“Kejohanan kali ini dipendekkan tempohnya sebab sebelum ini kami anjurkan dalam sembilan hari, tapi kali ini hanya lima hari,” katanya, selepas majlis pelancaran kejohanan itu di Akademi Badminton Malaysia, yang turut dihadiri Presiden KLBA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Timbalan Presiden KLBA Mohd Taupik Hussain yakin Jejak Juara mampu tarik banyak penyertaan.

Menurut Mohd Taupik, Projek Jejak Juara adalah ‘blue print’ KLBA merangkumi empat elemen utama iaitu ‘Development, Tournament, President Scholarship dan KL International Badminton Academy’.

Empat elemen itu menjadi teras utama kepada Projek Jejak Juara untuk menjadi satu program pembangunan yang menyeluruh dan sistematik dalam pembangunan dan kecemerlangan sukan badminton Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, KLBA turut berterima kasih di atas kerjasama diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL) bagi menjayakan program ini serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memainkan peranannya dalam menyediakan platform terutama gelanggang pertandingan yang kondusif bagi penganjuran kejohanan Tertutup Projek Jejak Juara Kuala Lumpur.