PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Universiti Multimedia (MMU) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk meningkatkan lagi bakat bola sepak dalam kalangan pelajar MMU.

Ini adalah julung kalinya MMU membuat perjanjian dengan mana-mana persatuan bola sepak yang mana ia bakal mengukuhkan pembangunan pelajar dalam sukan serta memberi peluang kepada pemain yang benaung di bawah KLFA untuk melanjutkan pelajaran di MMU.

MoU itu telah ditandatangani oleh Naib Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar dan Presiden MMU, Professor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud di kampus induk MMU di Cyberjaya pada Isnin.

Professor Mazliham yang gembira dengan kerjasama ini turut menyifatkan ianya sebagai satu lonjakan yang besar dalam pembangunan sukan di MMU dan boleh meningkatkan tahap kemahiran pemain-pemain MMU untuk menghadapi Liga IPT.

“Saya amat berbesar hati dengan kesediaan KLFA dalam membina hubungan kerjasama ini. Adalah menjadi harapan kami agar pemain bola sepak MMU mendapat latihan intensif yang akan membantu kami muncul sebagai IPTS pertama menjuarai Liga IPT.

Presiden MMU, Professor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud

“Perjanjian ini juga membolehkan para pemain yang bernaung di bawah KLFA mendapat akses ke pendidikan tinggi menerusi pelbagai program yang ditawarkan oleh MMU yang boleh membantu mereka menceburi pelbagai lagi bidang selepas mengakhiri kerjaya sebagai pemain bola sepak,” katanya dalam ucaptamanya.

MMU mempunyai tiga pelajar yang kini bermain bersama skuad Piala Presiden Kuala Lumpur City manakala dua lagi pemain beraksi buat skuad Piala Belia Kuala Lumpur City dan mengakhiri kempen Divisyen 1 Liga IPT di tangga keenam musim ini.