NAIB juara Piala AFC 2022, Kuala Lumpur (KL) City FC mengumumkan melantik tokoh politik, Fahmi Fadzil sebagai penaung (patron) kelab.
Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menerusi satu sidang media yang diadakan pada Rabu.
“Saya telah dapat pengesahan daripada YB Fahmi Fadzil untuk menjadi patron bagi pasukan KL City dan beliau meletakkan syarat-syarat.
“Saya dan KL City jangan mendapatkan pembiayaan daripada telco yang dibawah kementeriannya. Beliau tak mahu nanti akan dilihat terhutang dengan syarikat-syarikat telco oleh kerana menyumbang atau membantu usaha KL City.
“Tapi tak apa, KL City ada seorang individu yang dihormati dan disegani sebagai patron. Kita kita akan usahakan mendapatkan tajaan apa yang kita perlukan dan dapat dari sumber-sumber yang lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Cheras.
Hadir sama, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard dan ketua jurulatih, Bojan Hodak.
Khalid berkata, pemilihan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bersesuaian memandangkan kawasan diwakili Fahmi berada dalam Wilayah Persekutuan dan pada masa sama menunjukkan minat mendalam serta memiliki daya tarikan bagi mendapatkan sokongan buat kelab.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilantik sebagai penaung KL City pada Ogos tahun lepas, selepas bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa meletak jawatannya itu.
Dalam pada itu, Khalid berkata beliau sudah berjumpa Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh, untuk memohon pertimbangan bagi menambah bajet persatuan daripada RM5 juta kepada RM10 juta setahun.
Katanya, setakat ini bajet perbelanjaan yang digunakan KLFA ialah kira-kira RM16 juta hingga RM18 juta untuk pembangunan skuad KL City, dan pasukan di bawah naungannya termasuk aspek pengurusan persatuan.
Ujar Khalid lagi, prestasi The City Boys cukup baik pada musim ini dan kelab berpangkalan di ibu kota itu sewajarnya mendapatkan lebih banyak lagi tajaan.
ARTIKEL BERKAITAN : Khalid dedah ada pihak berniat jahat dan burukkan nama KLFA dan KL City
“KL City layak secara merit. Tahun lepas naib juara Piala AFC dan musim ini berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala FA 2023 bertemu Terengganu.
“Malangnya, kita tidak ada kerajaan negeri dan sumbangan yang diterima adalah daripada pihak DBKL. Jadi, pihak mereka bagi RM5 juta Alhamdulillah… RM10 juta lagi baik,” tambah Khalid.