PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kecewa dengan isu pajakan penyelenggaraan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan mahu isu ini diselesaikan segera dan bersedia mengambil alih tugasan ini.

Ini kerana menurut KLFA, pihak ketiga yang dipertanggungjawab untuk menyelenggara stadium dan fasiliti gagal melakukan demikian dan hampir memalukan imej negara di kejohanan Piala AFC tempoh hari

Presidennya, Tan Sri Khalid Samad menerusi sidang media berkata dia sudah membawa isu ini ke Parlimen dan akan menunggu jawapan balas dari Menteri Wilayah Persekutuan pada sidang Parlimen yang akan datang.

 

Sidang media oleh Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad (tengah), Stanley Bernard dan Setiausaha Agung KLFA Nokman Mustaffa (kiri).

Khalid juga mendakwa pihak ketiga ini lebih mementingkan nilai komersil dan bukannya menjaga kelab bola sepak yang kini berada pada tahap terbaik sepanjang 32 tahun ini.

Atas faktor ini, Khalid merayu kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar menilai kembali kontrak pajakan ini dan KLFA bersedia mengambil alih demi kepentingan kelab dan mahu menjadikan stadium ini sebagai lambang kemegahan kelab Kuala Lumpur City FC.

“Isu pajakan stadium ini saya telah saya bawa ke Parlimen tetapi tidak mendapat jawapan balas kerana masa yang singkat dan akan dibawa semula pada sesi akan datang.

Stadium Kuala Lumpur Cheras

“Syarikat swasta itu gagal dan KLFA sendiri terpaksa bertindak sendiri hingga membolehkan Piala AFC diadakan. Keadaan lampu limpah masih belum memuaskan dengan pencahayaan hanya 1200 lux sahaja berbanding 1400 lux yang kami mahukan.

“Selain isu pencahayaan, padang juga dilihat bermasalah kerana tidak sering diselenggara dan juga kerana ianya terlalu kerap digunakan. Ini kerana ianya dianggap sebagai sumber pendapatan buat syarikat itu dan pihak KLFA terpaksa menggunakan peralatan sendiri yang dibawa dari padang latihan.

“Selain itu baja rumput juga ditukar tanpa perbincangan dan kualiti rumput tidak seperti mana yang dikehendaki oleh KLFA dan kami melihat ianya lebih kepada nilai komersil dan bukannya penyelenggaraan stadium.

 

“Akibatnya kami terpaksa melakukan penyelenggaraan sendiri kerana kami dapati ianya kurang memuaskan dan kami merayu agar DBKL mengkaji semula isu pajakan ini,” katanya dalam sidang media itu.

Pandangan Khalid turut disokong Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard yang juga mahukan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ini menjadi lambang kemegahan kelab Kuala Lumpur City FC sebagaimana yang dilakukan oleh kelab-kelab ternama di Eropah dan seluruh dunia.