SEBAGAI usaha mempromosikan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi, Astro mengambil inisiatif dengan mengadakan Klinik Sepak Takraw League 2023 (STL2023) di Sekolah Antarabangsa, Sri Kuala Lumpur, Subang.

Sesi beramah mesra juga diadakan untuk  memberi peluang kepada 500 anak-anak muda yang hadir bagi berinteraksi serta mengenali dengan lebih dekat pemain-pemain sepak takraw negara.

Pengetua Sekolah Antarabangsa Sri Kuala Lumpur.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, program yang diadakan pertama kali itu akan dilakukan di sekolah-sekolah yang terpilih menerusi Astro Arena  sebagai usaha membangunkan sukan tradisi tersebut daripada peringkat umbi.

“Selain mencungkil bakat-bakat baru dan membawa jenama STL dikenali di peringkat akar umbi, kinik yang diadakan ini adalah untuk memberi peluang kepada pemain-pemain STL yang juga merupakan pemain kebangsaan dan profesional untuk mendekatkan diri mereka bersama komuniti dan mempamerkan aksi mereka dalam menarik lebih ramai pelajar meminati sukan ini,” katanya melalui kenyataan media.

Pelajar memberikan perhatian kepada program Klinik STL yang diadakan

Jelasnya, program klinik ini akan diadakan secara berperingkat ke sekolah-sekolah terpilih yang lain serta akan melakukan sebarang penambahbaikan dan perancangan pada musim akan datang.

Hos STL yang juga merupakan bekas pemain sepak takraw negara, Azlan Mubin berkata, dengan program pengenalan STL yang diadakan ini sekaligus dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar dari pelbagai bangsa untuk mempelajari sukan takraw lebih mendalam.

Nicholas John

“Sukan Sepaktakraw cukup sinonim dengan bangsa melayu, tapi dengan pendedahan di peringkat akar umbi seperti di sekolah, saya melihat ramai pelajar lain termasuk Cina dan India turut serta dan menunjukkan minat dan teruja dengan sukan ini dan ianya adalah perkembangan yang cukup positif.

“Pendedahan sukan takraw seharusnya bermula di peringkat sekolah dan pendekatan ini jugalah yang dilakukan oleh kuasa besar sepak takraw dari negara jiran iaitu Thailand mencari pelapis-pelapis baru dengan mewajibkan sukan ini disetiap sekolah dengan memupuk semangat mereka untuk mempelajari sukan ini,” ujar Azlan.

Selain daripada Sekolah Antabangsa Sri Kuala Lumpur, program klinik itu juga telah diadakan di SMK Seri Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan yang dihadiri seramai 700 orang ketika saingan STL melakukan jelajah ke Negeri Sembilan pada Jun, lalu.

Saingan STL yang sedang berlangsung kini sudah memasuki minggu ke enam di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dan akan menamatkan saingannya pada 23 Julai nanti, sementara STL Champion Cup pula akan berlangsung pada 30 Julai hingga 5 Ogos 2023 di Iskandar Malaysia Studios, Johor.