KETUA jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann yakin mereka boleh menamatkan kemarau berdekad lamanya di Piala Asia yang bermula bulan ini di Qatar.

“Kami sudah bersedia untuk pergi ke Qatar dengan penuh tenaga. Kami mempunyai banyak kepercayaan boleh melakukannya dengan baik di Qatar dan membawa kembali Piala Asia ke Korea selepas 64 tahun,” kata Klinsmann semasa acara tahunan Bola Sepak Korea di Seoul baru-baru ini.

Taeguk Warriors selamat sampai ke Abu Dhabi pada Selasa untuk mengadakan kem latihan sempena Piala Asia.

“Ini adalah matlamat kami. Inilah yang kami kerjakan setiap hari. Kami semua berharap dapat membuat anda sangat gembira enam minggu dari sekarang,” kata Klinsmann.

Kejohanan bola sepak lelaki peringkat Asia bermula 12 Januari dan juara akan dinobatkan pada 10 Februari depan.

Korea dijangka akan cuba memenangi kejuaraan Piala Asia pertama mereka sejak kali terakhir mendakap gelaran pada edisi 1960 di Seoul.