KUALA Lumpur Lawn Tennis Association (KLLTA) diberi penjenamaan baharu, Tennis KL bertujuan untuk memudahkan pengurusan komunikasi khususnya kepada masyarakat umum yang masih tidak mengetahui kewujudan persatuan sejak 1999 yang lalu.

Tennis KL merupakan persatuan sukan tenis tempatan yang diberikan nafas baharu termasuk memfokuskan kepada tiga penjenamaan melibatkan nama persatuan, perkembangan terkini persatuan dan bimbingan kepada pemain muda sebagai satu usaha merangsang prestasi pemain-pemain tempatan.

Dalam masa yang sama, dengan penjenamaan baharu ini juga dapat mengambil kira perkembangan arus terkini terutamanya hebahan dan maklumat yang disampaikan menerusi platform media sosial seperti Instagram, TikTok, dan Twitter diterima terus oleh semua lapisan masyarakat.

“Dunia sukan tenis telah berubah, perkembangan terkini Tennis KL adalah untuk mempersiap dan membangunkan pemain-pemain muda tempatan untuk mewakili Kuala Lumpur dalam perlawanan-perlawanan berskala kecil dan besar termasuk perlawanan Pingat Bulanan (Monthly Medal), Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Remaja Kebangsaan, Sukan Malaysia (SUKMA) hingga ke peringkat Kebangsaan.

“Tumpuan juga akan diberikan kepada perlawanan Pingat Bulanan (Monthly Medal) bagi mendedahkan kanak-kanak seawal usia lapan tahun untuk menyesuaikan diri dalam perlawanan, serta membina watak mereka dari segi mental dan emosi untuk bertanding,” kata Presiden Tennis KL, Mirzan Mahathir ketika majlis memperkenalkan Tennis KL pada Ahad.

Selain itu, Tennis KL turut menggalas tanggungjawab dalam penyediaan pelapis pemain-pemain muda untuk memastikan mereka layak menyertai temasya Sukan Malaysia (Sukma) sekaligus merebut pingat emas dengan mengambil tindakan proaktif bersama bimbingan daripada Ketua Jurulatih, Abd Hazli yang merupakan bekas jurulatih kebangsaan, dan Azizul Azhar selaku jurulatih serta bekas pemain Kuala Lumpur.

Sementara itu, Tennis KL menekankan pemain tenis muda tempatan yang dilatih bakal berdepan dengan perlawanan-perlawanan terbuka seperti KL Open, Medrush TennisKL Allstar 2023 dan aktiviti Tennis Holiday Camp melalui bimbingan jurulatih yang berpengalaman.

Sebagai rekod, Tennis KL turut menerima sokongan dana daripada Medrush dan rakan kongsi dari Wilson, CMCI & COF Music serta mempelawa semua agensi-agensi untuk memberi bantuan sebagai usaha membangunkan sukan tenis negara khususnya bagi golongan muda yang mempunyai potensi besar sebagai pelapis meneruskan sukan tenis di Malaysia.