TERUK. Sangat merisaukan!

Demikian luahan jurulatih berpengalaman Liverpool, Jurgen Klopp berhubung aksi sadis dipamerkan skuad tersebut selepas longlai dibelasah Brighton Hove & Albion 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Ahad.

Pasukan pelawat, Liverpool kelihatan seakan-akan hilang arah apabila Brighton berjaya mengawal penuh perlawanan dengan beberapa percubaan merbahaya berjaya dihasilkan tuan rumah pada babak pertama.

Jurgen Klopp menegaskan bahawa aksi menentang Brighton awal pagi tadi merupakan antara aksi paling buruk pernah disaksikannya sejak membimbing The Reds.

“Saya tidak sanggup mengingati perlawanan seburuk ini. Sejujurnya saya tidak mahu ingat.

“Brighton bermain dengan baik. Mereka berhak untuk menang. Sebuah pasukan yang sangat tersusun berdepan dengan sebuah pasukan yang goyah.

“Sudah tentu saya risau. Takkan tak risau lepas melihat aksi sebegini dari pasukan Liverpool?” jelas Klopp.

Keputusan tersebut juga menyaksikan Liverpool terperosok ke tangga ke-sembilan liga dengan 28 mata, 16 mata di belakang pendahulu Liga, Arsenal.

Manakala, Brighton kini berada di kedudukan ketujuh liga selepas aksi luar biasa mereka selepas membenam The Reds 3-0 di laman sendiri.