INSTITUT Sukan Negara (ISN) meletakkan keyakinan teguh pada Kod Sukan Selamat, dimana inisiatif tersebut dapat memastikan isu-isu sensitif tidak lagi disembunyikan oleh para atlet mahupun pihak berkepentingan yang lain.
Kod tersebut telah memberi kesedaran dan keberanian buat mereka untuk melaporkan sebarang pelanggaran etika sebelum, semasa, atau selepas latihan juga pertandingan.
Perkara ini telah disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli yang bersetuju dan yakin bahawa dengan pendedahan dan pendidikan mengenai peranan Kod Sukan Selamat, pihak berwajib seperti jurulatih, pengurusan pasukan, dan persatuan sukan akan lebih memahami misi yang harus digalas.
“Kod Sukan Selamat memainkan peranan yang penting dalam melindungi atlet yang mungkin teraniaya.
“Oleh itu, inisiatif seperti Kod Sukan Selamat ini memerlukan persediaan yang rapi untuk menghadapi aduan, dan kita perlu bersedia bahawa aduan itu akan timbul. Kes-kes ini memerlukan perhatian, baik daripada pemegang tanggungjawab mahupun media.
“Atlet perlu sedar akan kepentingan mereka dalam ekosistem ini dan tidak boleh diabaikan,” ujarnya ketika ditemui di ISN pada Khamis.
Beliau juga memberi peringatan buat para atlet agar tidak gentar untuk bersuara serta tegas melontarkan hak mereka sebagai seorang atlet.
Meskipun beliau menyedari bahawa memperbetulkan norma-norma yang lama (menyembunyikan sesuatu perkara) bukan satu tugas yang mudah, beliau percaya dalam naratif “speak out loud” untuk menjamin keselamatan atlet.
Untuk maklumat, sesi Seminar Antigangguan Seksual Dalam Sukan turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mendukung usaha ISN untuk menjamin kesejahteraan para atlet sekali gus membuka mata pihak lain tentang kepentingan isu ini.