KOD Sukan Selamat yang dilancarkan 15 Mac lalu, diperluas ke Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Terkini, 60 entiti daripada KPM dan KPT menandatangani perakuan Kod Sukan Selamat yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, golongan pelajar sama ada peringkat sekolah dan mahasiswa universiti adalah pemegang taruh terbesar bagi kod itu.
“Saya percaya semua pelajar dan jurulatih akan ada kesedaran yang tinggi mengenai Kod Sukan Selamat, dan bila ada kesedaran mereka akan tahu bagaimana ingin membawa diri semasa mereka melakukan aktiviti sukan.
“Kita ingin wujudkan budaya sukan yang sihat di negara ini, bahasa yang digunakan mudah difahami, ada apa-apa masalah KBS akan sedia bantu KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis menandatangani kod berkenaan bersama KPM dan KPT yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Sementara itu, Hannah berkata, enam aspek yang diberi keutamaan dalam Kod Sukan Selamat adalah meliputi gangguan seksual, salah laku mental, salah laku fizikal, pembulian, seksual ‘grooming’ dan kesalahan yang sedia ada di bawah undang-undang negara.
“Kes yang paling besar setakat ini adalah gangguan seksual, laporan polis sudah dibuat untuk pelumba basikal, dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Kod itu menerangkan peranan dan tanggungjawab kepada pemegang taruh seperti atlet, jurulatih, badan sukan, ibu bapa dan organisasi berkaitan sukan serta mekanisme pelaporan sedia ada yang boleh digunakan oleh semua penggiat sukan.