JUARA Snuker Amatur Dunia, Lim Kok Leong tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi, bersama semangat membara untuk memburu lebih banyak kejayaan selepas ini.

Ketibaan Kok Leong dari Antalya, Turki, disambut Timbalan Presiden Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia (MSBF) Datuk Mohd Anis Hisham Abdul Aziz.

Juara berussia 27 tahun itu berkata, beraksi di Kejohanan Snuker Amatur Dunia kali ini menjadi perjalanan yang indah buatnya.

“Ini adalah kali ketiga saya beraksi di Kejohanan Snuker Amatur Dunia dan saya ke Turki tanpa tekanan dan beraksi sebagai ‘underdog’.

“Saya hanya beraksi dengan baik dan tidak sangka, selepas satu ke satu perlawanan, prestasi saya bertambah baik, malah ketika berdepan Amir Sarkosh dari Iran, dia berada di puncak prestasi.

“Saya tidak sangka dapat menewaskannya 5-0 sekali gus ditabal sebagai juara,” kataya.

Timbalan Presiden Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia (MSBF) Datuk Mohd Anis Hisham Abdul Aziz sambut kepulangan Juara Dunia Lim Kok Leong di KLIA petang tadi.

Berkongsi detik lagu Negaraku berkumandang, Kok Leong mengakui teruja dan sebak dengan kemampuannya mengharumkan nama Malaysia.

“Mendengar lagu Negaraku berkumandang, sentiasa mengujakan apa lagi menerima ucapan tahniah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatddin Al-Mustafa Billah Shah, saya amat berbangga dan berterima kasih atas ucapan itu,” kata Kok Leong.

Dia berkata, selepas ini dirinya mahu memburu lebih banyak kejayaan dalam tempoh dua tahun ini.

“Saya akan terus memburu kejuaraan di peringkat amatur dua tahun akan datang saya akan beralih kepada pro sepenuh masa,” katanya.

Pada Oktober lalu, Kok Leong bersama Moh Keen Hoo muncul juara Kejohanan Snuker Berpasukan Dunia yang berlangsung di Kuala Lumpur.