RAJA dan ratu pecut Majlis Sukan Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023, mengetuai delegasi negara ke Kejohanan Olahraga Remaja Asean di Bangkok, Thailand bulan depan.
Pemenang pingat emas 100m lelaki bawah 18 tahun MSSM, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, 16, dan Nur Izzati Eliana Suhaidi, 17, mengetuai 44 atlet remaja yang terdiri daripada 25 lelaki dan 19 wanita, ke kejohanan yang akan berlangsung pada 7 hingga 10 Disember depan, di Bangkok, Thailand.
Selain itu, turut tersenarai pemenang pingat emas acara lompat kijang MSSM, Allina Batrisya Nasaruddin akan turut menjadi sandaran utama dalam pemburuan pingat negara.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan perkara itu ketika mempengurusikan Mesyuarat Agung Tahunan KOM yang pertama untuk penggal ini bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran kepada barisan atlet muda negara.
Namun dalam pada yang sama beliau turut mengharapkan barisan atlet muda negara ini mampu untuk menjadi pelapis berkualiti terhadap barisan atlet sedia ada.
“Kita menghantar kontinjen terbesar kali ini ke Thailand sebagai tanda sokongan selepas KOM menarik diri daripada menganjurkan kejohanan berkenaan.
“Malaysia sepatutnya menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Remaja Asean tahun ini, namun akibat beberapa kekangan termasuk ketiadaan stadium yang boleh digunakan kerana tiada sijil pengesahan penggunaan trek termasuklah di Bukit Jalil jadi kita terpaksa tolak dan menyerahkan kembali kepada Thailand.
“Saya berjanji akan menganjurkan kejohanan itu tahun depan di Malaysia dengan lebih meriah,” katanya.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan adalah pada 2015.