SEPANJANG tempoh penggantungan dua tahun kerana didapati positif doping, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu atlet lompat tinggi negara, Ngu Jia Xin tidak memikirkan soal berputus asa dan terus menjalani latihan seperti biasa biarpun tidak dibenarkan menyertai sebarang pertandingan.
Potensi yang ada pada atlet terbabit masih diperlukan terutamanya untuk mewakili negara di Sukan Sea Bangkok yang dijangka bersaing 9 hingga 20 Disember tahun hadapan.
Ini berikutan hukuman penggantungan terhadap Jia Xin sudahpun bermula dari 2 Jun 2023 dan akan tamat pada 1 Jun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Perubatan KOM Datuk R Annamalai berkata, KOM tidak akan menghalang atlet berkenaan sekiranya dia layak untuk berbuat demikian.
Namun semuanya terpulang kepada panel rayuan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) yang akan meneliti semula hukuman berkenaan selepas Jia Xin menghantar permohonan rayuan untuk meringankan hukumannya bagi membolehkannya menyertai kejohanan lebih awal bagi memburu syarat kelayakan.
“Sekarang ini terpulang kepada budi bicara Adamas. Mungkin hukuman itu akan kekal dua tahun atau mungkin dapat dikurangkan.
“Ini kerana barang yang diambil oleh Jia Xin itu bukanlah steriod tapi ia adalah barang terlarang yang didapati berada dalam minuman kopi pelangsing Jia Xin. Biarpun begitu barangan itu tetap bahan terlarang,” katanya.
Sibutramine dikategorikan sebagai kesalahan bukan serius kerana ia bukan bahan perangsang seperti anabolic steroid atau erythropoietin (EPO) seperti yang disenaraikan Agensi Anti-Doping Dunia (Wada).
Sibutramine disenaraikan di bawah kategori S6 oleh Kod Anti-Doping Dunia WADA.
Sibutramine bukan bahan perangsang prestasi dan ia digunakan terutama bagi mengurangkan berat badan.
Ia boleh didapati dalam kebanyakan produk penurunan berat badan dan agak mudah diperoleh.