DISIPLIN diri amat penting dalam meniti kejayaan sebagai seorang atlet dan perkara itu sekali lagi ditekankan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang mengingatkan atletnya agar tidak mementingkan diri sehingga meragut kerjaya sebagai seorang atlet apabila didapati positif doping.

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan/Doping KOM, Datuk R. Annamalai menegaskan, sebarang pengambilan produk tambahan perlu mendapat kebenaran pegawai perubatan di Institut Sukan Negara (ISN) dan dengan pengetahuan jurulatih mereka.

Malah beliau mengingatkan agar jurulatih, membuat pemeriksaan terhadap pemakanan atau minuman atlet jagaan mereka secara berkala.

“Jurulatih kena kerap lakukan pemeriksaan apa barang (produk) yang atlet makan seperti produk yang mahu jadi cantik dan kurus dibeli secara dalam talian. Dia (atlet) tidak tahu itu adalah terlarang dalam kod anti doping.

“Saya rasa atlet itu ambil minuman dan dia tidak tahu. Kawan-kawan kata bagus dan dia makan bukan untuk tujuan olahraga (stamina) tetapi dia sendiri ambil (produk tambahan).

“Dia juga tidak membuat semakan dengan doktor atau jurulatih. Jadi timbul isu ini (positif doping),” kata Annamalai, ditemui media pada majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia di Kuala Lumpur.

Baru-baru ini dilaporkan atlet lompat tinggi kebangsaan Ngu Jia Xin digantung dua tahun selepas didapati positif ujian kawalan doping yang dilakukan di Kejohanan Trek dan Balapan KOM 2023.

Jia Xin yang memenangi pingat emas Sukma 2022 digantung selama dua tahun dan dilarang menyertai sebarang penyertaan bermula 2 Jun 2023 hingga 1 Jun 2025 selaras dengan Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan Agensi Anti-Doping Dunia Kod 2021.

Begitupun, Annamalai berkata, atlet terbabit akan membuat rayuan dan memberi justifikasi secara bertulis secara terperinci, sebelum tarikh akhir selama 14 hari iaitu pada 24 Januari ini.

“Dia akan buat rayuan dan bagi justifikasi dalam bentuk tulisan. Ini kerana semasa pendengaran secara lisan di hadapan panel (Adamas), dia tidak banyak cakap, jadi susah untuk beri perincian.

“Rayuan untuk kurangkan jumlah hukuman,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, KOM sudah dan akan mengambl beberapa langkah termasuk mengadakan seminar untuk meningkatkan kesedaran atlet terutama mengenai bahan-bahan terlarang.

“KOM juga mengarahkan semua jurulatih untuk sentiasa waspada gejala pengambilan makanan atau minuman tambahan tanpa merujuk kepada jurulatih atau doktor untuk memberi kebenaran,” katanya.