MUHAMMAD Azeem  Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy berada dalam senarai pendek yang dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), sebagai cadangan nama untuk diberikan tiket ‘wildcard’ beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan KOM, Robert J Ballard berkata, bagaimanapun pihaknya masih menaruh harapan agar dua atlet terbabit boleh melayakkan diri secara merit, meskipun sedar agak sukar melakukannya.

“Kita akan menghantar dua nama ini kepada Jawatankuasa Pemilihan Atlet KOM sebelum 30 Mei untuk diputuskan siapa yang akan diberikan wildcard, untuk KOM hantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum 30 Jun, kerana mereka (MOM) akan menghantar nama kepada Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum 8 Julai,” kata Ballard, ditemui pada sidang media KOM di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara (MSN).

Robert J Ballard mencadangkan nama Shereen dan Azeem untuk diberi satu tiket wildcard ke Olimpik Paris 2024.

Menurutnya, hanya atlet 100 meter (m) dan 800m boleh diberi  tiket wildcard ke Olimpik Paris 2024.

Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100m, dengan catatan 10.09 saat (s) melakukan catatan terbaik musim ini 10.24s, ketika berlari di Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Los Angeles 27 April lalu.

Namun catatannya itu masih terlalu jauh dari had kelayakan Olimpik Paris, 10.0s.

Sementara Shereen, memegang rekod kebangsaan 400m dengan catatan 51.80s, perlu sekurang-kurangnya mencatat masa 50.95s untuk layak secara merit.

Pada Kejohanan Baytaf Classics, Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi, dia mencatat masa 52.85s, dan masih jauh dari had kelayakan.

Muhammad Azeem Fahmi calon pilihan untuk diberikan kuota wildcard ke Olimpik Paris 2024.

Shereen Samson lebih sukar untuk melepasi had kelayakan olimpik dalam acara 400m.

Justeru, Ballard berkata, jika berpeluang diberikan wildcard sekalipun, Shereen mungkin diberi peluang berlari dalam acara 100m wanita.

“Shereen ada juga berlari dalam acara 100m sebelum ini dan dia mempunyai catatan terbaik 11.61s.

“Dalam acara 400m, Shereen perlu memecahkan rekod kebangsaan dua kagi untuk menghidupkan peluangnya secara merit, jadi amat sukar untuk dia namun masih ada kejohanan di sana hujung minggu akan datang sebelum dia pulang menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia.

“Kita juga ada memohon untuk memasukkan Shereen dan Azeem ke kejohanan di Kazakhstan 22 Jun depan, kejohanan bertaraf gangsa.”

Begitupun, Ballard berkata, jika kedua-dua atlet tidak layak secaraf merit, masih ada peluang menggunakan kuota ‘unqualify athletes’ yang diberikan satu kuota kepada setiap negara yang tidak mempunyai atlet yang layak ke temasya itu.