JALINAN kerjasama antara Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) telah menjanjikan pembangunan dan kemajuan bagi sukan olahraga dari peringkat akar umbi di Malaysia.
Dengan nilai tajaan sebanyak RM 5 juta sepanjang tiga tahun bermula 2023 daripada Cahya Mata, ianya dapat membantu KOM untuk lebih menjaga kesejahteraan holistik atlet negara dengan memberi penekanan terhadap setiap aspek yang penting.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata tajaan yang disalurkan itu turut menjadikan faktor penting bagi mencapai matlamat dalam sistem kejurulatihan dan pembangunan.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak Cahya Mata kerana dalam masa yang sama telah memberikan kesedaran betapa pentingnya sukan olahraga ini dalam industri sukan Malaysia.
“Kita boleh melihat pencapaian yang luar biasa oleh para atlet muda kita dan dari situ jika negara ingin kedepan, atlet muda adalah yang wajib diberi perhatian.
“Saya yakin bahawa setiap pihak sedang berusaha keras untuk membuktikan komitmen berterusan dalam pertubuhan sukan di Malaysia,” ujarnya dalam sidang media.
Pengerusi Kumpulan Cahya Mata, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin pula berharap supaya tajaan yang diberikan oleh mereka dapat menyuntik semangat baru sejurus menyumbang kepada kemajuan olahraga dan kesejahteraan atlet negara.
“Perkongsian ini mencerminkan kepercayaan kami terhadap potensi atlet Malaysia.
“Komitmen kami adalah untuk memastikan bakat mereka dapat dimanfaatkan dalam melonjakkan pretasi demi mencapai kejayaan di pentas antarabangsa dan memperkasakan pencapaian Malaysia dalam sukan olahraga.”