PEMAIN hoki wanita kebangsaan, Hanis Nadiah Onn digantung daripada tugasan pasukan kebangsaan termasuk ke Temasya Sukan Sea Kemboja 2023, selepas didapati bersalah membuat komen berbaur perkauman pada sebuah konsert, sehingga menimbukan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak.
Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang dipengerusikan bersama Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada 7 Februari lalu.
Menurut kenyataan media Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jawatankuasa itu membincangkan komen Hanis Nadiah di laman sesawang Instagram Kosmo Online yang didakwa berbaur perkauman berkenaan konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman pada 28 Januari 2023.
“Hanis turut dipanggil dan mengakui memuatnaik komen ‘bau best la kat dalam tu’ berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert yang dimuatnaik oleh Kosmo Online.
“Hanis menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuatnaikkan ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton. Beliau hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman setelah ditegur oleh netizen,” kata KBS menerusi kenyataan media yang diedarkan pada Khamis.
Tambah kenyataan itu lagi, Hanis kemudian memadam komennya pada pagi 29 Januari 2023 dan membuat permohonan maaf terbuka menerusi laman sosialnya ekoran kekhilafan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim turut dipanggil memberi keterangan, dan jurulatih terbabit menyifatkan Hanis sebagai seorang pemain yang mempunyai sikap merendah diri dan berdisiplin sepanjang latihan dan kejohanan.
“Mohd Nasihin mengakui Hanis memiliki ramai rakan hoki di kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah kerana sifatnya mudah mesra dengan rakan sepasukan.”
Bagaimanapun, selepas sesi temubual dan memperhalusi dapatan lain, Jawatankuasa Siasatan merumuskan bahawa Hanis telah memuatnaik ciapan komen berbaur perkauman kerana ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India.
“Jawatankuasa mendapati Hanis telah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.
“Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salahfaham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain.
“Sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana telah membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM,” katanya.
Artikel Berkaitan:
KBS minta MSN siasat komen bersifat rasis pemain hoki wanita negara