BEKAS jurulatih Jerman dan Amerika Syarikat (AS) Jurgen Klinsmann telah mencetuskan kemarahan Iran dan pengurus mereka Carlos Queiroz, dengan membuat satu kenyataan.
Klinsmann tidak berada di Piala Dunia 2022 di Qatar selepas membawa Jerman ke separuh akhir pada 2006 dan Amerika Syarikat ke pusingan 16 terakhir pada 2014.
Meskipun tiada di sana, jurulatih berusia 58 tahun itu masih mampu menjadi tajuk utama dan mengundang kemarahan rakan jurulatih.
Malah, komennya dibuat pada masa yang sensitif menjelang pertemuan AS dan Iran pada perlawanan penting peringkat kumpulan B, 3 pagi Rabu ini.
JURGEN KLINSMANN CAKAP APA MENGENAI IRAN DI PIALA DUNIA?
Bercakap di BBC selepas Iran menewaskan Wales 2-0 pada 25 November lalu, Klinsmann menggelarkan pasukan Iran dan jurulatih mereka Queiroz sebagai ‘gamesmanship’ yang boleh dipersoalkan untuk menuntut kemenangan.
“Itu budaya mereka dan itulah sebabnya Carlos Queiroz sangat sesuai dalam pasukan kebangsaan Iran,” kata Klinsmann.
“Dia bergelut di Amerika Selatan, bersama Colombia, gagal layak ke Piala Dunia, begitu juga bersama Mesir. Kemudian dia kembali sejurus sebelum Piala Dunia untuk membimbing Iran, di mana dia pernah berkerja satu masa dulu.
“Ini hanyalah sebahagian daripada budaya mereka dan cara mereka bermain, mereka juga bertindak seolah-olah pengadil, anda sendiri dapat lihat mereka di bangku simpanan, sentiasa melompat, bekerja sebagai pegawai keempat dan penjaga garisan, sentiasa di telinga mereka, sentiasa di muka anda. Kieffer Moore mungkin boleh beritahu anda lebih banyak selepas perlawanan mengenai insiden kecil yang kami tidak nampak.”
APA RESPONS CARLOS QUEIROZ?
Selepas lebih 24 jam komen Klinsmann dibuat, Queiroz membalas dengan menggesa jurulatih asal Jerman itu meletak jawatannya di FIFA.
“Kepada Jurgen; Awak panggil saya Carlos, jadi saya percaya adalah wajar untuk memanggil awak Jurgen. Betul? Walaupun tidak mengenali saya secara peribadi, awak mempersoalkan watak saya dengan pertimbangan prejudis tipikal,” tulis Queiroz di Twitter.
“Tidak kira betapa saya boleh menghormati apa yang anda lakukan di padang, kenyataan itu mengenai budaya Iran, pasukan kebangsaan Iran dan pemain saya adalah memalukan bola sepak. Tiada siapa yang boleh menjejaskan integriti kami jika tidak berada di tempat kami.
“Dengan kata-kata sinikal itu, kami tetap ingin menjemput anda sebagai tetamu kami, untuk datang ke kem pasukan kebangsaan kami, beramah mesra dengan pemain Iran dan belajar daripada mereka tentang negara, rakyat Iran, penyair dan seni, algebra, semua budaya Parsi milenium dan juga mendengar daripada pemain kami betapa mereka suka dan menghormati bola sepak.
“Sebagai orang Amerika/Jerman, kami faham tiada sokongan dari anda. Tiada masalah. Dan walaupun kenyataan keterlaluan anda di BBC cuba melemahkan usaha, pengorbanan dan kemahiran kami, kami berjanji kepada anda bahawa kami tidak akan mengeluarkan sebarang pertimbangan mengenai budaya, akar dan latar belakang anda dan anda akan sentiasa dialu-alukan ke keluarga kami.
“Pada masa yang sama, kami hanya ingin mengikuti dengan penuh perhatian apakah keputusan FIFA berhubung kedudukan anda sebagai ahli Kumpulan Kajian Teknikal Qatar 2022. Kerana, jelas sekali, kami mengharapkan anda meletakkan jawatan sebelum anda melawat kem kami.”
Dear Jurgen;
You took the initiative to call me Carlos, so I believe it is proper to call you Jurgen. Right?
Even not knowing me personally, you question my character with a typical prejudiced judgment of superiority.
(…) pic.twitter.com/JAq0l7Yp6n— Carlos Queiroz (@Carlos_Queiroz) November 26, 2022
BAGAIMANA PRESTASI IRAN DI PIALA DUNIA 2022?
Saingan Qatar bermula dengan buruk untuk Iran apabila mereka tewas 6-2 kepada England dalam perlawanan pembukaan mereka.
Pasukan bimbingan Queiroz bagaimanapun berjaya bangkit menentang Wales, dengan kad merah lewat perlawanan kepada Wayne Hennessey membantu mereka menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk menang 2-0.
Keputusan itu sekali gus melonjakkan Iran ke tempat kedua dalam Kumpulan B, satu mata di hadapan AS, yang akan mereka hadapi seterusnya.
Jika Wales tidak menewaskan England, keputusan seri dengan AS cukup untuk Iran menempah tempat ke pusingan kalah mati.
Iran tidak pernah melepasi saingan peringkat kumpulan sepanjang lima penampilan mereka di Piala Dunia dan senarion itu menjadikan perlawanan menentang AS sangat penting.
Berdasarkan maklum balas Queiroz terhadap Klinsmann, dia dan Iran pastinya ada sesuatu yang ingin dibuktikan di Qatar. – SPORTINGNEWS