KAPTEN Selangor FC Muhammad Safuwan Baharudin mengakui komitmen kepada pasukan yang ditunjukkan oleh Faisal Halim melonjakkan lagi semangat mereka untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Faisal atau lebih dikenali dengan nama panggilan Mickey membuat kejutan hadir di Stadium Majlis Bandaraya Petalinga Jaya pada Sabtu lalu bersama-sama keluarga serta anaknya meskipun masih dalam proses pemulihan selepas menjadi mangsa serangan asid bulan lalu.

Kehadiran pemain kebangsaan itu bukan sahaja mengejutkan penyokong-penyokong malah rakan sepasukan sendiri sebelum aksi menentang Negeri Sembilan FC bagi pusingan 16 Piala FA 2024-2025.

Safuwan yang ditemui selepas perlawanan itu mengakui, Faisal sepatutnya tidak perlu hadir ke stadium tapi semangatnya untuk bersama pasukan jelas melebihi segalanya.

“Saya setuju dengan perkataan, kehadiran Mickey memberi motivasi kepada pemain-pemain, ‘credit goes to Mickey’. Komitmen yang dia berikan, saya rasa dia tak perlu pun ada dekat sini kerana dia perlu lebihkan kepada rawatan pemulihan, kena kurang berinteraksi dengan orang ramai.

“Kehadiran dia tadi agak sedih melihat kepada keadaan fizikalnya, saya memberitahu kepada pasukan bahawa komitmen yang diberikan harus dibalas,” katanya.

Pada perlawanan itu, Selangor FC yang dibimbing Jurulatih Nidzam Jamil melangkah ke suku akhir bertemu Kuching City FC hasil kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC.

Bagi Safuwan, mereka tidak boleh memandang mudah cabaran yang bakal diberikan oleh Kuching City FC yang menyingkirkan Kuala Lumpur City FC 3-2 pada pusingan awal.

“Mana-mana kejohanan pasti berbeza, kita lihat pada pusingan pertama Piala FA ada kejutan berlaku, saya rasa buat masa sekarang kami fokus pada saingan liga dahulu, perlawanan suku akhir nanti kami akan pergi ke Kuching bagi perlawanan pertama jadi kami fokus pada satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.