BAGI menyemarakkan lagi kehangatan bahang kelayakan Piala Dunia 2026, sebuah komuniti yang digelar Ekor Timur Tengah’ telah dilancarkan secara rasmi pada Isnin.

Selepas berjaya menghimpunkan ribuan penyokong Harimau Malaya di Qatar sempena Piala Asia 2023, aura sokongan terus dirasai untuk dibawa kepada aksi peringkat Kumpulan D menentang Oman di Muscat pada 22 Mac depan.

“Dengan lafaz Bismillah.. Alhamdulillah komuniti ‘Ekor Timur Tengah’ kini dilancarkan secara rasmi setelah direstui oleh Capo Lekir dari Ultras Malaya.

“Komuniti penyokong Harimau Malaya ini ditubuhkan khas buat semua penyokong warga Malaysia yang bermastautin di luar negara terutama di rantau timur tengah.

“Komuniti ini yang berpangkalan di Doha, Qatar akan bertindak sebagai Pemain ke-12 dan mewakili seluruh ekor-ekor di rantau ini bagi memudahcara berkumpul dan mengatur pergerakan ekor-ekor selain support dan backup kepada Ultras Malaya semasa awaydays terutama di rantau ini,” kata Imran Anuar yang juga Admin Facebook Ekor Timur Tengah

Beliau telah menetap dan bekerja di Qatar dari tahun 2019 berkata, kumpulan komuniti itu turut dikendalikan tiga lagi sahabat baiknya iaitu, Azril Feeqry, Hafiz Rofie dan Izham.

May be an image of 2 people and text

Ultras Malaya bersama penyokong Malaysia berjaya menggegarkan Doha semasa Piala Asia 2023.

 

Mengulas lanjut, ujar Imran, Ekor Timur Tengah bukanlah sub Ultras Malaya kerana Ultras Malaya hanya ada satu paksi sahaja, tetapi apabila penyokong berada di curva, tidak kira siapa mereka dan latar belakang, meraka adalah sebahagian dari Ultras Malaya.

“Ekor Timur Tengah tiada hak eksklusiviti terhadap sesiapa pun. Ekor Timur Tengah adalah hak kita semua warga Malaysia.

“Komuniti ini lahir dari mereka untuk mereka. Semakin besar curva kita di awaydays, semakin besar suara kita agar semangat dan motivasi dapat disampaikan ke JIWA setiap pemain Harimau Malaya.

“Suara, semangat dan jiwa anda amat diperlukan! ,” jelasnya lagi.