SEHARI sebelum menjelang final Piala Malaysia 2023, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tampil membuat permohonan maaf berikutan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dilihat belum bersedia.
Dalam satu kenyataan kepada media, PSM memohon maaf kepada Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023 dan finalis Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Terengganu FC.
Malah kenyataan tersebut juga turut memohon maaf kepada semua peminat sukan bola sepak negara serta semua penyokong kedua-dua pasukan atas keadaan SNBJ yang kurang memuaskan menjelang perlawanan pada Jumaat.
“PSM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay yang telah berlangsung pada 22 November 2023 yang lalu.
“PSM komited melakukan penambahbaikan Standard Operating Procedure (SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa hadapan.”
ARTIKEL BERKAITAN:
TMJ resah situasi padang Stadium Nasional menjelang final Piala Malaysia
Isu keadaan padang belum ‘bersedia’ timbul sejak beberapa hari lalu apabila pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambaran terkini padang yang belum siap sepenuhnya.