PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memberi bayangan konflik antara Pearly Tan-M Thinaah sudah berakhir, apabila menyuarakan keyakinan, gandingan itu akan tampil lebih hebat musim 2024.
Semalam, Rexy memuat naik gambar terbaharu Pearly-Thinaah di laman Instagram miliknya yang menunjukkan kedua-dua pemain bersalaman sambil tersenyum ketika sesi latihan di ABM, Bukit Kiara.
“Kedua-duanya kembali mengukir senyuman dan bakal berjuang untuk Terbuka Malaysia 2024.
“Mereka akan menjadi lebih kuat dan memerlukan satu sama lain dalam usaha untuk mencapai impian mereka pada 2024,” tulis Rexy pada hantaran berkenaan.
Pearly-Thinaah sebelum ini dikhuatiri berselisih faham selepas mereka dilihat tidak berkomunikasi antara satu sama lain ketika tewas di tangan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong di pusingan pertama Masters China, bulan lalu.
Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai prospek untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik Paris tahun depan akan memulakan cabaran musim 2024 bermula di Terbuka Malaysia dari 9 hingga 14 Januari.