DATUK Ong Kim Swee sah dilantik sebagai Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) manakala Mohd Asri Ninggal dan Mohd Razif Ismail sebagai Timbalan Presiden.

Perkara itu telah diumumkan selepas selesai satu Kongres Tahunan PJBM 2023 bagi penggal 2022-2026 yang berlangsung di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya pada Sabtu.

Kim Swee yang merupakan pengendali Sabah FC telah menang tanpa bertanding bagi menggalas tanggungjawab baharu sejurus menggantikan Presiden PJBM lalu, mendiang B. Sathianathan yang meninggal dunia pada 17 Julai 2023.

“Saya pasti dengan adanya barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif baru ini, kita dapat sama-sama menjaga kebajikan jurulatih tempatan sekali gus menitik beratkan tentang beberapa isu yang timbul dalam kalangan jurulatih walaupun bagi saya tugas ini bukan suatu yang mudah. 

“Saya juga mahukan satu formula terbaik dapat dihasilkan antara pihak kami, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan PJBM mempunyai persatuan yang kuat sama seperti persatuan-persatuan bolasepak tempatan.

“Justeru, tampilnya Rezal Zambery, Sulaiman Hussin dan lain-lain lagi telah melihatkan keseimbangan yang kita ada sekali gus ingin berganding bahu melaksanakan program PJBM kepada jurulatih di peringat akar umbi lagi.

“Mereka semua memainkan peranan yang sangat penting untuk mencungkil bakat pemain dan bukan sahaja memikirkan pemain naturalisasi sahaja,” ujar Kim Swee. 

Sementara itu, jawatan naib presiden pula telah disandang oleh ACP (B) Md Dali Wahid, dan Aminuddin Hussin manakala yang menang tanpa bertanding adalah Rezal Zambery Yahya dan Ishak Kunju Mohamad.

Senarai Ahli Jawatankuasa Eksekutif pula adalah Ridzuan Abu Shah, Sulaiman Hussin, Rashid Mamud, Noor Zaidi Rohmat, Farhana Abdullah, Siti Suhaila Johari, S.Balachandran, Haris Lajid dan Chiew Chun Yong yang menang tanpa bertanding.