PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menggesa Kontinjen Malaysia untuk berfikir besar dan membangunkan mentaliti kemenangan sepanjang Sukan Olimpik Paris 2024 sedang berlangsung.

“Walaupun menghantar kontinjen kecil, kita perlu berfikir besar. Berikan yang terbaik. Menjadi berani. Tiada yang mustahil,” jelasnya ketika melakukan lawatan ke Perkampungan Olimpik di St Ouen semalam.

Beliau turut mengambil kesempatan menyertai atlet lain mengucapkan selamat hari lahir kepada pemanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi yang genap 19 tahun hari ini.

Selepas menduduki tempat ke-50 dalam pusingan ranking pada 25 Julai 2024, pemanah dari Kuala Lumpur itu dijadualkan bergabung tenaga dengan Syaqiera Mashayikh  dan Nur Azreena Mohd Fazil untuk menentang Indonesia dalam acara berpasukan Memanah Wanita di Invalides.

Turut hadir sama ialah Datuk Nicol Ann David dan penerjun negara Nur Dhabitah Sabri, Syaqiera, Nur Azreena, perenang Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin serta pemain golf Ashley Lau.

Dalam lawatan itu, Norza turut menyampaikan syiling emas eksklusif kepada para atlet yang dikeluarkan khas MOM dengan kerjasama Venessa Diamonds.

Norza turut diberikan lawatan ke Perkampungan Olimpik termasuk dewan makan dan perkhidmatan perubatan serta sokongan yang disediakan oleh Sekretariat Malaysia di Blok A20 di tempat tersebut.

Pada 28 Julai, antara atlet Malaysia yang akan beraksi termasuk trio pemanah wanita, acara badminton (beregu wanita, beregu lelaki, perseorangan lelaki, beregu campuran) dan renang (Rouxin Tan bagi acara 100 m kuak dada).