MENJELANG dua hari lagi sebelum bermulanya temasya Sukan Asia 2023, para kontinjen Malaysia telah berlepas pagi Khamis selepas upacara ‘Flag-Off’ dilancarkan di perkarangan Majlis Sukan Negara (MSN). 

Seramai 89 para atlet daripada sukan renang, hoki,sepak takraw, ragbi, menembak, taekwondo dan e-sukan telah dilepaskan dalam upacara itu tadi dengan menaiki kenderaan Proton sebagai penaja rasmi mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad yang secara rasmi melepaskan para atlet itu bertegas mengatakan bahawa tiada ruang dan impian untuk mereka bercuti dan bersuka ria di Hangzhou malah mereka tertumpu untuk satu matlamat iaitu membawa pulang kejayaan buat Malaysia. 

“Para atlet dilihat sangat bersemangat untuk memberikan yang terbaik dan tidak akan mengecewakan rakyat Malaysia walaupun tiada sasaran pingat secara khusus buat mereka.

“Barisan atlet dan pegawai sukan pastinya akan bawakan pingat untuk Malaysia dan saya percaya mereka mempunyai sasaran tersendiri yang perlu direalisasikan,” katanya selepas melepaskan kontinjen negara ke Sukan Asia. 

Kontinjen Malaysia yang dianggotai seramai 289 atlet dan 145 pegawai akan menyertai 22 daripada 40 acara sukan dipertandingkan dengan sasaran 27 pingat untuk dibawa pulang secara keseluruhan.