TANPA acara ‘lubuk emas’ yang tidak dipertandingkan, kemampuan kontinjen negara membawa pulang 32 pingat, melepasi sasaran 27, meletakkan nama Malaysia di kedudukan ke-14 keseluruhan.
Ironinya, kontinjen negara berada di kedudukan ketiga terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara, di belakang Thailand dan Indonesia.
Pencapaian ini, berbeza sama sekali dengan apa yang berlaku pada temasya Sukan Sea Kemboja, April lalu.
Pada Temasya Phnom Penh, kontinjen negara menduduki tangga ketujuh, di belakang Vietnam, Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina dan Singapura.
Kontinjen negara ke Sukan Asia 2022, membawa pulang enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa, untuk menduduki tangga ke-14 daripada 45 negara bertanding.
Mengulas mengenai pencapaian itu, ketua kontinjen ke Sukan Asia 2022, Datuk Chong Kim mengakui keputusan yang diraih pada temasya di Hangzhou itu adalah cerminan kepada senario sukan hari ini.
Justeru, kontinjen negara mampu menyumbang lebih banyak pingat pada temasya antarabangsa yang akan datang dengan sokongan yang lebih baik daripada pihak kerajaan.
“Kami percaya seandainya beberapa sukan dapat diperkasakan dengan suntikan dana dan sokongan material serta moral daripada pihak Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan dan agensi seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
“Kontinjen Malaysia di semua temasya pelbagai sukan antarabangsa berkemampuan untuk memberi saingan bermutu tinggi dan dominan dalam beberapa disiplin tertentu.
“Syabas dan tahniah kita ucapkan kepada sukan seperti pelayaran, skuasy, ekuestrian, karate dan olahraga yang menyinari bumi Hangzhou dengan kilauan pingat,” kata Kim Fatt ketika merumuskan pencapaian Sukan Asia 2022 di sini.
Sebagai rekod, kontinjen ke Sukan Asia 2022 membariskan 288 atlet adalah lebih kecil berbanding 417 atlet yang menyertai temasya 2018 di Jakarta-Palembang.
Disebabkan jumlah atlet tidak sebesar kontinjen ke Jakarta-Palembang 2018, nisbah atlet setiap pingat bertambahbaik dengan satu pingat untuk sembilan atlet.
Dengan penyertaan 22 daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan, sebanyak 13 jenis sukan dikenalpasti sebagai sumber pingat iaitu terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, e-sukan, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy dan wushu.
Namun berdasarkan sasaran ini, hanya hoki lelaki yang disasarkan pingat, gagal merealisasikan, sekali gus terlepas peluang untuk melayakkan diri secara automatik ke Paris 2024.