PAKAIAN rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik ke-33 di Paris, direka baharu menggunakan latar belakang hitam dengan belang harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di hadapan dan belakang jaket.

Selepas dibayangi kontoversi dengan reaksi pelbagai mengenai rekaan pakaian rasmi itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil dengan perubahan besar, apabila tidak menggunakan produk keluaran penaja, Yonex Sunrise Malaysia (YY).

Dalam satu kenyataan yang diedarkan hari ini, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada Yonex Sunrise Malaysia untuk tidak menggunakan logo Yonex atau YY pada kedua-dua jaket dan kemeja T.

Keratan media yang diedarkan.

“Perkara ini disebabkan prosedur operasi standard (SOP) rumit untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi termasuk urusan dengan pengilang.

“Jadi, Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza, sebagai pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024, disebabkan faktor masa,” kata Norza, dalam kenyataan yang diedarkan.

Pelancaran pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris yang dilakukan di TRX, menerima kritikan berterusan sehingga ke platform antarabangsa, yang menganggap corak rekaan bertaraf sekolah.

Beliau berterima kasih kepada Yonex Sunrise Malaysia yang sudah 10 tahun menaja pakaian rasmi Kontinjen Malaysia dan membenarkan penghasilan pakaian rasmi baharu menggunakan fabrik dan reka corak berbeza.

Mengulas mengenai rekaan baharu itu, Norza berkata, logo MOM dengan kibaran Jalur Gemilang akan kembali dengan lakaran mengikut warna Jalur Gemilang diiringi lima gegelung Olimpik, berbanding garisan berwarna emas pada pakaian yang dilancarkan baru-baru ini.

Mohamad Norza menamatkan perbahasan mengenai rekabentuk corak pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan dengan reka corak baharu yang dicetak semula.

“MOM berasakan reka corak baharu ini, melambangkan semangat Harimau yang menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama diperkenal pada temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan Sea di Manila pada 2005,” tambahnya.

Jelasnya lagi, mewakili pemegang taruh seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), MOM mahu semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet mengaum di Kota Paris.

Setakat ini, seramai 26 atlet mewakili negara diminta mempamer semangat juang tinggi dan kental bersesuaian ciri-ciri dan motif belang Harimau yang ditonjolkan.