PEREKA fesyen tersohor tanah air, Rizman Ruzaini (RR) bakal menampilkan busana rekaannya di pentas Olimpik Paris 2024 apabila kontinjen negara disahkan menyarung pakaian yang mendapat sentuhan RR itu.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengatakan bahawa pihaknya telah mencapai kata sepakat dan membuat keputusan akhir mengenai pemakaian rasmi kontinjen negara di Olimpik yang direka khas oleh RR.
Menurutnya, busana rasmi semasa Acara Pembukaan Olimpik 2024 adalah berkonsepkan pakaian tradisional baju Melayu dan mungkin akan ditayangkan dahulu kepada pihak umum dalam minggu hadapan.
“Kita sudah membuat keputusan mengenai pakaian kontinjen. Betul pakaian atlet mendapat sentuhan daripada Rizman Ruzaini dan kita akan berbincang nanti, bila patutnya kita akan keluarkan.
“Mungkin dalam minggu hadapan kita akan tayangkan dahulu kepada umum, mengenai rekaan pakaian rasmi kontinjen negara semasa Pembukaan Olimpik Paris nanti yang bertemakan tradisional, baju melayu,” kata Hamidin ketika ditemui di Wisma OCM pada Khamis.
Sudah pasti, perkara ini bakal menjadi aura positif dan khabar gembira buat atlet tanah air mahupun netizen yang sebelum ini pernah mengecam corak pakaian yang akan disarung atlet nanti.