KONTINJEN PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terus mendominasi Kejohanan Sukan Kerja Raya apabila muncul sebagai juara keseluruhan temasya sukan industri lebuhraya negara buat kali ke-13 berturut-turut di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Sabtu lalu.
Anjuran Kelab Sukan & Kebajikan Kementerian Kerja Raya dan Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Kejohanan Sukan Kerja Raya kali ini disertai oleh 26 kontinjen daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, syarikat-syarikat konsesi lebuhraya, syarikat penyelenggaraan jalan raya dan lain-lain lagi.
Pada kejohanan sukan tersebut, seramai 1,600 atlet telah bersaing di dalam 18 acara yang menyaksikan kontinjen PLUS dibarisi oleh 160 atlet meneruskan dominasi Sukan Kerja Raya apabila membawa pulang 4 pingat emas, 7 perak dan 1 gangsa.
Ia merupakan pencapaian yang lebih baik berbanding temasya yang sama pada tahun 2018 yang berlangsung di Ipoh.
Chef-de-Mission (CDM) merangkap Presiden Kelab PLUS Malaysia, Mohd Yusuf Abd Aziz berkata, pasukannya hanya mempunyai tempoh kira-kira satu bulan untuk membuat persediaan bagi kejohanan kali ini dan perlu melaksanakan perancangan yang teliti untuk menghimpun warga PLUS yang bertugas di Utara, Selatan, Tengah termasuklah Pantai Timur.
“Kami bersyukur kerana semua atlet menunjukkan komitmen dan semangat yang cukup tinggi. Pengurusan PLUS juga memberikan sokongan yang padu kepada kontinjen ini sepanjang tempoh latihan dan kejohanan ini.
“Alhamdulillah, misi untuk mengekalkan gelaran Juara Keseluruhan tercapai.” Kontinjen PLUS menggungguli Sukan Kerja Raya sejak kejohanan sukan ini mula diperkenalkan pada tahun 1999,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Kontinjen yang diberikan gelaran “Highway Star” ini merangkul 4 pingat emas menerusi acara Bola Jaring, Karom, Tenpin Boling (Lelaki) dan Boling Padang manakala 7 pingat perak menerusi acara Sepak Takraw, Futsal Wanita, Catur, Tenpin Boling (Wanita), Mountain Bike, Ping Pong dan Dart serta 1 pingat gangsa menerusi acara Bola Tampar.
Sementara itu, temasya sukan dwitahunan ini telah dirasmikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof manakala perasmian penutup disempurnakan oleh Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia.
Turut hadir pada kedua-dua majlis tersebut ialah Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail selaku penaung Kelab PLUS Malaysia dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi selaku penasihat Kelab PLUS Malaysia dan Presiden PSKLM.
Sukan Kerja Raya bertujuan untuk meningkatkan persahabatan, dan rangkaian di kalangan warga Kementerian, agensi dan syarikat-syarikat konsesi menerusi sukan, di samping menggalakkan gaya hidup yang sihat.