SERAMAI 52 atlet, pegawai dan jurulatih dari Terengganu bakal menerima durian runtuh jika memenangi kilauan pingat pada Sukan Sea ke-32 yang sedang berlangsung di Kemboja.
Menurut Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya, pemenang pingat emas akan diberi RM4,000, manakala RM3,000 dan RM2,000 untuk perak dan gangsa.
Menurut beliau, ganjaran itu merupakan Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) selain insentif tambahan lain bagi yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan atau temasya berkenaan.
“Bagi yang menyertai acara berpasukan pula, pemenang pingat emas bakal menerima RM2,500, pemenang pingat perak, RM2,000 dan RM1,500 untuk pemenang pingat gangsa.
“Ini adalah tanda penghargaan kepada atlet, pegawai serta jurulatih yang telah mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di pentas tertinggi Asia Tenggara itu.
“Kami berharap atlet negeri ini dapat membantu kontinjen negara mencapai sasaran di Kemboja,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MSNT di sini, hari ini.
Turut diserahkan pada majlis tersebut ialah Skim Wakil Negara (SWARA) bernilai RM1,000 seorang kepada atlet, pegawai dan jurulatih Terengganu yang mewakili negara ke Sukan Sea 2023.
Ahmad Shahrizal memberitahu, bagi temasya dwi tahunan di Vietnam tahun lalu, seramai 27 atlet dari negeri itu berjaya memenangi kilauan pingat dan menerima SHAKE berjumlah RM86,000.
Tambah beliau, bagi edisi ke-32, acara sukan seperti berbasikal, judo, dan petanque yang disertai atlet Terengganu berpotensi menghadirkan pingat kepada kontinjen negara.
“Setakat semalam, hanya atlet karate, Siti Nur Azwani Nor Azli yang secara rasmi memenangi pingat gangsa dalam acara kumite wanita bawah 61 kilogram.