KONTINJEN Wilayah Persekutuan mendapat semangat tambahan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak selepas menerima bantuan Madani daripada Jabatan Wilayah Persekutuan menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).

Bantuan sebanyak RM282,000 itu diberikan kepada 86 badan sukan yang bernaung di bawah MSWP yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam satu majlis di Putrajaya pada Selasa.

Dr Zaliha menjelaskan bantuan ini akan digunakan bagi kegunaan pentadbiran badan-badan sukan ini bagi memastikan mereka kekal bergiat aktif di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi membentuk masyarakat yang lebih sihat.

Zaliha Mustafa bersama-sama pengurus badan-badan sukan Wilayah Persekutuan

“Saya berharap agar bantuan ini dapat memberi lebih galakan kepada semua badan sukan untuk berusaha meningkatkan tadbir urus masing-masing dan seterusnya mempraktikkan tata kelola yang baik supaya pengurusan sukan di Wilayah Persekutuan dapat menjadi contoh terbaik kepada negeri-negeri lain.

“Bantuan ini juga diharap dapat membantu menampung kos pengurusan dan pentadbiran badan sukan di Wilayah Persekutuan bagi memastikan pentadbiran badan sukan diurus dengan lebih kemas, teratur dan sistematik,” katanya dalam ucaptamanya.

Bantuan ini bukan hanya diberikan kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya sebaliknya turut melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan yang menerima bantuan RM70,000 sekali gus menjadikan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM352,000.

Majlis Penyerahan Bantuan bernilai RM282,000 kepada badan sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya

Dr Zaliha juga mahu Kontinjen Wilayah Persekutuan untuk memperbaiki pencapaian tempat ketiga ketika Sukma ke-20 apabila bersaing di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos 2024 nanti.

“Saya mahukan semua badan sukan untuk mempersiapkan atlet masing-masing untuk berada di prestasi terbaik kerana hanya yang terbaik dan berpotensi untuk menghasilkan pingat sahaja akan dipilih untuk dihantar ke Sukma Sarawak nanti,” jelasnya.

Sebagai rekod, Kontinjen Wilayah Persekutuan membawa pulang 55 pingat emas, 69 perak dan 65 gangsa dalam temasya sebelum ini dan dalam majlis yang sama, 47 pengurus pasukan turut menerima watikah pelantikan ke Sukma.