BEKAS skuad emas yang menjulang Piala Thomas 1992, Kwan Yoke Meng akhirnya sah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas berkhidmat selama hampir 20 tahun.
Pengumuman itu dibuat beliau menerusi Facebook peribadinya hari ini.
Bekas pemain kebangsaan berusia 57 tahun itu memuat naik status Facebooknya, menyatakan kontraknya sebagai jurulatih remaja tidak akan diperbaharui oleh BAM.
“Bermula Mac, saya tidak lagi bersama BAM dan tidak terikat. Saya teruja kerana saya masih mempunyai banyak tawaran dan ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman saya.
“Saya juga berterima kasih atas sokongan daripada keluarga saya dan ramai rakan yang telah memberikan kata-kata semangat kepada saya,”katanya menerusi kemaskini status dalam bahasa Inggeris.
Yoke Meng menyertai pasukan kejurulatihan pada tahun 1993 di mana beliau menjadi jurulatih kanan, tetapi meninggalkan BAM pada tahun 2003.
Dia bagaimanapun kembali menyertai adan induk badminton negara pada 2015 sebagai ketua jurulatih pasukan badminton Sekolah Sukan Bukit Jalil, sebelum diberi portfolio berbeza sebagai jurulatih remaja pada 2020.
Penamatan kontrak yang tidak disambung ini adalah perkembangan terkini situasi kejurulatihan skuad elit badminton negara selepas peletakan jawatan Vountus Indra Mawan pada 31 Januari lalu, sebelum berlepas ke Australia untuk menjadi ketua jurulatih Badminton Victoria dan penolong ketua jurulatih kebangsaan negara itu.
Bekas juara All England, Hafiz Hashim turut mengumumkan pemergiannya selepas kontraknya tidak disambung baru-baru ini.
Sebelum ini, ketua pegawai eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai mengumumkan Datuk Misbun Sidek akan mengetuai barisan kejurulatihan perseorangan remaja, manakala ketua jurulatih beregu skuad senior Rexy Mainaky mengambil alih peranan tambahan menyelia skuad elit remaja.