PENARIKAN diri China sebelum ini telah memberi isyarat jelas kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk membuka peluang kepada negara lain untuk membida bagi menjadi tuan rumah Piala Asia 2023.
Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) mengumumkan mereka telah menghantar permohonan rasmi kepada AFC untuk membida hak tuan rumah Piala Asia 2023 pada 20 Jun.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol menyokong penuh untuk menganjurkan kejohanan itu dan telah mengarahkan menteri sukannya cuba untuk membida bagi memperoleh hak penganjuran mereka.
“Persatuan Bola Sepak Korea membida untuk menganjurkan Piala Asia AFC 2023 yang dihoskan oleh AFC di Korea.
“Oleh kerana itu, kami ingin meneruskan bidaan daripada kerajaan tempatan yang mempunyai stadium yang boleh menganjurkan aksi antarabangsa,” kata KFA menerusi kenyataan di laman web mereka.
Sementara itu hasrat sama turut diluah jurucakap Australia, yang mahu membida sukan berprestij di Asia.
Bagaimanapun, Menteri Sukan Australia berkata, keputusan untuk membida terletak pada Persatuan Bolasepak Australia yang kini masih dalam fasa rundingan dan penilaian yang teliti.
Kejohanan bola sepak terulung rantau Asia tersebut bakal dilangsungkan pada 2023 namun belum dapat dipastikan tuan rumah yang baharu selepas China mengumumkan penarikan diri sebagai penganjur Piala Asia 2023 ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara tembok besar itu.