PELUANG ke kota Ulsan untuk membuat liputan perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara Johor Darul Ta’zim dan Ulsan Hyundai membuka mata tentang keunikan bandar industi dan pelabuhan Korea Selatan ini.
Kota dengan kepadatan penduduk lebih 1.1 juta orang ini sememangnya adalah sebuah bandar yang mempunyai jiwa walaupun ianya tidaklah sesibuk kota lain di Korea Selatan seperti Seoul mahupun bandar terdekat, Busan.
Bandar yang terletak bersebelahan sungai Taehwa yang bersih ini dilengkapi kemudahan pejalan kaki dan basikal di sepanjang tebing sungai yang dijadikan penduduk tempatan sebagai lokasi mereka bersenam dan bersantai bersama teman mahupun keluarga.
Namun ada satu perkara yang sangat nyata di Ulsan adalah segala-segalanya tentang Hyundai. Syarikat gergasi Korea Selatan ini telah menjadikan Ulsan sebagai tapak industri kenderaan dan juga limbungan kapal yang menyaksikan wujudnya sebuah bandar yang diberi jolokan Hyundai City.
Segala-segalanya tentang Hyundai bermula dari kenderaan, hotel, lif, pusat beli belah, nama jalan serta penaja utama kelab bola sepak adalah Hyundai malah sesi sidang media pra perlawanan juga diadakan di Hotel Hyundai.
Kilang kenderaan di Ulsan cukup besar dan mampu mengeluarkan hingga 1.7 juta kenderaan dalam setahun iaitu kira-kira 4,500 buah sehari dengan purata tiga kenderaan seminit dihasilkan. Hebat bukan.
Perjalanan dari Hotel Hyundai ke Stadium Ulsan Munsu perlu melalui pelabuhan Ulsan yang sibuk dan kelihatan begitu banyak kenderaan sedang dinaikkan ke dalam kapal untuk dihantar untuk pasaran seluruh dunia.
Disebabkan statusnya sebagai bandar perindustrian, Ulsan kurang dikunjungi pelancong asing dan ianya sedikit menyukarkan kerana penguasaan Bahasa Inggeris penduduk setempat yang sangat terhad namun mereka masih tetap bersungguh-sungguh menghulurkan bantuan apabila diminta.
Hyundai nyata mengubah sebuah bandar pelabuhan kecil menjadi bandar industri yang hebat dan lengkap serta dilengkapi pelbagai fasiliti dan apa yang menarik, bas awam di sini menepati masa sesuai jadual yang dipaparkan pada papan masa di setiap hentian bas.
Pengalaman ini pastinya akan disimpan sebagai antara kenangan namun sayang tidak ada ole-ole dapat dibawa pulang kerana tidak menjumpai sebarang kedai yang menjual cenderahati Ulsan.
Gamsa Hamnida Ulsan!