TINDAKAN Malaysian Football League (MFL) mengenakan hukuman beraksi tanpa penyokong ketika aksi LS14 bertemu Johor Darul Ta’zim di Stadium MBPJ, Kelana Jaya mendapat kecaman daripada pelbagai pihak terutama penyokong bola sepak tempatan.

Sudahlah didenda dalam bentuk kewangan, Selangor dihukum pula beraksi tanpa penyokong atas alasan tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih Mei lalu dan bukannya atas alasan kekacauan penyokong di dalam mahupun di luar stadium.

Perkara ini turut tidak dipersetujui oleh Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Lembah Klang (KPBJLK) yang menyatakan ianya satu tindakan yang tidak adil buat kedua-dua penyokong dan berharap MFL dapat menilai semula keputusan yang dibuat.

KPBJLK mahukan semangat kesukanan tinggi diterapkan dalam apa jua keputusan yang dibuat

“Bagi pihak penyokong JDT, kami berharap perlawanan itu diteruskan dengan adanya penyokong. Pandangan kami mudah sahaja, jika sebelum ini ada berlaku pergaduhan antara kedua-dua penyokong, kami tidak kisah ianya diadakan tanpa penyokong.

“Isunya sekarang, penyokong tidak terlibat dan mengapa kami dihukum dan ianya mencetuskan tanda tanya adakah pihak MFL nampak apa yang kami sebagai penyokong tidak nampak dan kami memohon penjelasan daripada MFL.

“Kami tidak mahu komen tentang tiga hukuman yang lain kerana ianya melibatkan undang-undang pertandingan, tetapi bila ianya melibatkan penyokong, ianya memerlukan penjelasan kerana ia akan mencetuskan perkelahian antara kedua-dua penyokong yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang masalah.

KPBJLK sentiasa berada di belakang pasukan JDT

“Jika dilihat pada sejarah, tidak pernah ada pergaduhan pernah berlaku antara kedua-dua penyokong sama ada di Selangor mahupun di Johor jadi kami penyokong JDT di Lembah Klang ini mahu hadir bagi memeriahkan perlawanan kerana tanpa penyokong apalah bola sepak,” kata Presiden KPBJLK, Faiez Abdullah ketika ditemui di Majlis Pelancaran Hublot The Exchange TRX Boutique pada Rabu.

KPBJLK juga berharap kempen hentikan keganasan dalam bola sepak ini diteruskan bukan sahaja di dalam padang tetapi juga diluar padang melibatkan para penyokong yang sentiasa menjadi tulang belakang pasukan.