PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas delegasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan pemeriksaan pada Khamis.
Pan-gon yang menjawab soalan FLASH SUKAN ketika hari pertama kem latihan pusat skuad kebangsaan bagaimanapun meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kontraktor padang yang yakin permukaan rumput di stadium itu akan berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi bertemu Oman pada 26 Mac nanti.
Terdahulu, FAM mengesahkan aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu akan kekal berlangsung di ‘Home of Harimau Malaya’ selepas mendapat pengesahan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
“Keadaan padang tidak baik ketika saya lakukan lawatan tetapi pihak kontraktor yakin mereka mampu sediakan padang yang baik menjelang hari perlawanan dan saya percaya dengan keyakinan mereka.
“Saya kecewa pada awalnya tetapi pihak kontraktor berkata anda bukan bermain esok tetapi dua minggu lagi dan mereka yakin padang akan berada dalam keadaan yang baik dan saya percaya apa yang mereka katakan,” katanya.
Padang Stadium Nasional Bukit Jalil dikhuatiri rosak sekali lagi seperti apa yang terjadi kepada aksi final Piala Malaysia 2023 apabila ada permukaan padang yang tidak sempurna ekoran penganjuran konsert kumpulan Coldplay.
Namun, PSM sudah memberikan jaminan bahawa aksi bertemu Oman akan dimainkan di atas permukaan padang yang baik dan FAM sudah pun memulakan jualan tiket untuk perlawanan itu secara atas talian.
Meskipun aksi bertemu Oman akan berlangsung pada bulan Ramadan, namun ianya bukan penghalang untuk para penyokong sejati untuk hadir ke stadium memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya
Diharap keadaan padang akan berada pada tahap optimum sekaligus menjanjikan perlawanan yang lebih pantas dan tersusun seperti yang diharapkan Pan-gon.