KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak dapat menahan kesedihan apabila menceritakan detik-detik ketika dia melawat Faisal Halim di hospital yang disifatkan sebagai jiwa yang berani untuk bangkit semula.

Pengendali yang berasal dari Korea Selatan itu yang kebiasaannya ceria dan yakin, dilihat beremosi dan matanya berkaca yang menggambarkan rasa sedihnya kepada apa yang terjadi dan rasa sayangnya kepada para pemainnya.

“Ketika melawatnya, saya tidak dapat melihat wajah dan badannya kerana dalam keadaan yang kurang baik dan kami juga tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain,” katanya dalam keadaan suara yang tersekat-sekat.

Pan-gon tidak dapat menahan emosi tentang keadaan Faisal Halim

Terpanggil dengan keadaan yang menimpa Faisal serta beberapa lagi pemain yang lain, Pan-gon hadir pada hari pertama kem latihan pusat skuad kebangsaan dengan baju kempen ‘There is no hate in football. Unite as one’ sebagai tanda menolak keganasan dalam bola sepak.

“Keganasan dalam bola sepak perlu dihentikan. Sukan seharusnya menyatukan dan memberikan kegembiraan kepada semua. Jadi hentikan kebencian kerana pemain kebangsaan adalah aset negara dan saya harap perkara ini tidak terjadi lagi,” jelasnya.

Meskipun sedikit beremosi, Pan-gon tetap yakin barisannya mampu memberikan keputusan yang baik untuk dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.

Kempen yang dimulakan Pan-gon sebagai tanda menolak keganasan dalam bola sepak

Sebanyak 18 dari 26 pemain melaporkan diri pada hari pertama dengan kesemua pemain dari Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC hanya akan melaporkan diri pada satu tarikh yang tidak didedahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Skuad negara bakal mengharungi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun dan Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024 ini.